Thursday, January 19, 2006

Gas Ammonia di kampung den

Pemandu lori tampil akui lupus toksik

Oleh Suffian Abu Bakar

SEGAMAT 18 Jan. - Tey Tian Seng, 30, hanyalah pemandu lori dan orang biasa. Dia diupah membawa kandungan yang tidak diketahuinya untuk ditanam di beberapa tempat di Johor.
Namun, selepas dia mengetahui benda yang dibawanya telah menyebabkan penduduk Kampung Sungai Gatom, Labis menderita pencemaran ammonia, dia tidak dapat tidur malam.


Perasaan bersalah yang amat sangat, menghantuinya. Malah keluar rumah pun dia takut.
Akhirnya hari ini, ditemani seorang peguam dia menggagahkan diri membuat pengakuan kepada umum.


Apa yang memeranjatkan dalam pengakuan itu: Dua lagi lokasi di Johor dipercayai menjadi tempat pembuangan beribu-ribu tan sisa toksik selain Kampung Sungai Gatom di Labis itu.
"Saya meminta maaf kepada semua penduduk Labis yang terlibat dalam kejadian ini (gas ammonia). Sebenarnya saya sendiri tidak tahu benda ini boleh menjadi besar kerana saya tidak tahu kandungan bahan yang saya bawa.
Sejak kejadian itu saya tidak boleh tidur lena dan saya juga sedia bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menyiasat perkara ini setelah mendapat nasihat daripada peguam saya,'' katanya.

Tian Seng mungkin seorang yang `lurus bendul' - tidak tahu apa-apa. Tetapi apa yang sebenarnya sudah berlaku? Siapakah yang bertanggungjawab dan dalangnya?

Fenomena yang berlaku ini menyebabkan orang ramai kini berfikir, tertanya-tanya dan keliru dengan fungsi JAS. Agensi itu yang sepatutnya mengawasi perjalanan sisa toksik itu ke tempat pelupusan yang ditetapkan, seolah-olah `tutup mata' dan lepas tangan.


Lebih menghairankan, sehingga kini pun - Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Adenan Satim dan Ketua Pengarah JAS, Datuk Rosnani Ibarahim tidak buka mulut, walaupun insiden di Kampung Gatom sudah berlaku seminggu lalu.

Utusan Malaysia dalam laporan eksklusif muka 1 Khamis 12 Januari lalu mempersoalkan JAS ekoran kejadian di Kampung Gatom itu. Akhbar itu bertanya mengapa sisa toksik berbahaya itu terlalu mudah dibuang sesuka hati, sedangkan JAS mempunyai sistem dikenali sebagai Sistem Penjejakan Sisa Berjadual (E-Swiss). E-Swiss akan memastikan sisa-sisa itu tiba ke destinasi `terakhir' di loji pelupusannya di Kualiti Alam di Bukit Nenas, Negeri Sembilan.
Tetapi berdasarkan kejadian demi kejadian ini memperlihatkan ada `unsur-unsur yang tidak kena' telah berlaku.


Sementara itu, peguam Tian Seng, Pang Hok Liong berkata, pihaknya juga meminta supaya JAS Melaka bertanggungjawab dalam soal itu kerana agensi terbabit sepatutnya mempunyai data-data mengenai jumlah bahan buangan yang dihasilkan oleh sesebuah kilang, termasuk jumlah yang sepatutnya dilupuskan.

Tian Seng berjanji menyalurkan semua maklumat yang diperlukan kepada JAS.
Dia yang memiliki tiga buah lori muatan 10 tan mengaku menjadi pihak ketiga iaitu syarikat pengangkutan yang diupah oleh sub-kontraktor kepada pemilik sebuah kilang di Melaka untuk mengangkut dan membuang sisa toksik di ketiga-tiga lokasi. Dia yang mendakwa tidak mengetahui bahan yang diangkut adalah sisa toksik menerima upah RM50 satu tan atau RM500 bagi sebuah lori 10 tan mulai Oktober sehingga Disember lalu.


Kampung Sungai Gatom di Labis menarik perhatian seluruh negara apabila lebih 300 penduduk terpaksa berpindah setelah terhidu gas ammonia dari sebuah tapak pembuangan sisa toksik di tebing Sungai Gatom pada 8 Januari lalu.

Tian Seng yang bercakap melalui peguamnya mendakwa, Kampung Sungai Gatom adalah lokasi ketiga selepas dua lokasi lain dijadikan tempat pembuangan sisa toksik sepanjang tempoh tiga bulan itu.

Dia mendakwa menerima tugasan melalui subkontraktor pada Oktober lalu untuk mengangkut bahan buangan dari sebuah kilang yang terletak di Melaka ke tiga tempat berasingan.

Katanya, dia bersama dua lagi pemandu lori mengangkut sisa toksik itu beberapa hari sebulan dengan kekerapan tiga kali ulang alik setiap hari."Kesemua bahan yang diambil dari kilang itu dalam bentuk serbuk tanah dan batu, tidak diletakkan dalam kontena, tong atau kotak aluminium dan kami hanya diberitahu ia adalah bahan buangan dari kilang. Sepanjang proses mengangkut bahan tersebut, muatan bahan itu hanya ditutup dengan kain kanvas biasa serta diikat rapi,'' jelasnya pada sidang akhbar bersama peguamnya itu di Dewan Pertubuhan Kebajikan Chun Chiu di sini.

*Kesian orang kampung kena tinggal kat balairaya. Apa lah sesuka buang sisa toksik merata-rata. Patutnya setiap kilang patut ada prosedur untuk bawa keluar sisa-sisa toksik dari kilang. Walau ada prosedur sekali pun, mesti buat endah tak endah sebab tu la perkara macam ni berlaku. Sampaikan pemandu lori pun taktau apa kandungan barang yang diangkutnya tu.

Sekolah-sekolah berdekatan pun kena tutup sekolah satu hari. Dah rugi syllabus satu hari.

No comments: