Petang semalam. "Hani Mohsin dah meninggal ek", kata staff kat customer service Gian*, Senawang. Dalam hati, "ye ke? takkan lahh". Beliau muda lagi dan masih sihat lagi memutar roda. Tapi itulah hakikatnye, petang pun ada news pasal tu.
Selama ni kita tengok dia berdiri ceria di kaca tv, tapi semalam kita tengok dia terbujur kaku berwajah pucat. Rasa macam tak percaya. Siapa agaknye pengganti arwah?
To the one and only his daughter, mungkin ini holiday trip yang takkan dilupakan, tak sempat ke Langkawi dan kehilangan ayah pula. Semoga roh arwah dicucuri rahmat.
Al-fatihah.
Hani Mohsin meninggal dunia akibat serangan jantung
KUALA LUMPUR 25 Julai – Pelakon filem dan drama terkenal yang juga hos rancangan Roda Impian, Hani Mohsin Hanafi, 41, meninggal dunia akibat serangan jantung selepas pengsan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, di sini hari ini ketika sedang menunggu penerbangan ke Alor Star.
Beliau yang juga bekas suami Datin Seri Tiara Jacquelina menghembuskan nafas terakhir ketika dikejarkan ke Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) Sepang, dekat sini selepas pengsan kira-kira pukul 9.30 pagi.
Pelakon tersebut bersama anak tunggalnya, Hani Karmila, 9, dijadual berlepas ke Alor Star sebelum meneruskan perjalanan ke Langkawi untuk bercuti.
Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Zahedi Ayob memberitahu, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10 pagi memaklumkan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, selepas disahkan meninggal dunia, jenazah Hani Mohsin telah dibawa ke Hospital Serdang di sini kira-kira pukul 1 tengah hari bagi proses bedah siasat.
Tiara Jacquelina dan suaminya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi turut berada di hospital tersebut.
Sementara itu, jenazah Hani Mohsin tiba di rumahnya di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, di sini kira-kira pukul 5.30 petang ini sambil diiringi Tiara Jacquelina, Hani Karmila dan Effendi.
Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Al-Ridzuan, Hulu Klang di sini selepas solat Isyak sebelum dikebumikan di sebelah pusara ibunya, Hasni Bakar di Tanah Perkuburan Islam Al-Ridzuan, Hulu Klang.
Dalam pada itu, beberapa orang rakan artis termasuk Senator Datuk Jins Shamsuddin, Datuk Mustafa Maarof, A. Rahman Hassan turut menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya itu.
-FROM BERITA HARIAN, 26/07/06